Ulama Besar Patani Dalam Sejarah



Patani (atau selatan Thai) hari ini lebih dikenali dari sisi-sisi negatif -- tempat orang melepas nafsu,lubuk judi, sabung ayam mahupun laga orang. Dan pelbagai tanggapan negatif lagi.Sememangnya gambaran sedemikian amat mengecewakan orang Patani. Namun orang Patani harus menerimanya.

Jika dahulu Patani lebih tersohor sebagai pusat pendidikan Islam Nusantara yang dipelopori para ulama dan institusi pondoknya sejak abad ke-18 lagi. Kini era globalisasi dan pemodenan yang datang samaada dari Bangkok mahupun dari luar telah meminggirkan terus institusi pondok Patani dari arus perdana serantau sebagai tempat percambahan ilmu., Hari ini kita tidak mendengar lagi akan karangan-karangan kitab baharu dari ulama Patani. Kering atau seolah-olah ulama Patani sudah berhenri tinta penanya. Bahkan Patani sebagai serambi Mekah semakin dilupakan.

Mujur kitab-kitab 'kuning' peninggalan ulama berlaqab al-Fathani masih ditelaah sampai hari,sekurang-sekurangnya menjadi penyambung dalam megekalkan corak pemikiran Islam masyarakat Patani dari terhakis atau sekarang sedang dikikis oleh unsur-unsur tidak cocok dengan Islam.Atas rasa tanggungjawab, penulis sejarah asal Patani, Ahmad Fathy al-Fathani menjelajah ke pondok-pondok dan melacak dari pelbagai sumber untuk menyusun sebuah buku yang menghimpunkan 15 biodata dan 25 lagi secara ringkas ulama Patani dalam rentang waktu antara penghujung abad ke-18 hingga akhir abad ke-20.
Beliau pernah memimpin majalah Pengasoh sebagai editor dan menulis banyak makalah tentang Patani di media cetak., Usahanya amat istimewa buat peminat sejarah Patani dan sangat penting untuk tatapan generasi baru Patani yang semakin hilang identitinya. Dalam buku terdahulu, Pengantar Sejarah Patani, Ahmad Fathy menjelaskan:" 
     
    Di Patani saya perhatikan ramai anak-anak muda yang tidak tahu asal muasal mereka lagi. Kerana sudah terlalu lama berada di bawah Siam dan hidup dalam acuan budayanya, orang Patani kini sudah kehilangan minda dan citra Melayunya."

Buku yang meletakkan Sheikh Daud al-Fatani, disusunan pertama amat molek benar kerana jasanya dalam mengembang syiar Islam di Nusantara menerusi penulisan kitab-kitab jawi walaupun bergerak jauh di tanah Hijaz. Keberkatannya tercermin melalui kitab-kitabnya masih tidak jemu-jemu ditadah hingga kini.Antara kitab-kitab yang masih ditadah ialah Munyah al-Musolli, Furu' al-Masail dan Minhaj al- Abidin. Keindahan sastera dapat dirasai akan karangannya. Misalnya;, "Maka aku pungut akan permatanya dan aku tanggalkan kulitnya supaya terbuka hati yang suka beribadah dan menggemarkan tiap-tiap orang yang abidin yakni yang bersungguh-sungguh pada ibadah dan menolong bagi kebanyakan orang mukmin."( Hidayah al-Muta'alim).

Patani bukan sahaja melahirkan ulama penulis kitab atau ulama yang hanya bergiat di pondok semata-mata, bahkan pernah melahirkan ulama yang berfikiran jauh dalam menjamin survival orang-orang Patani di Thailand. Siapa yang tidak kenal dengan Tuan Guru Haji Sulong? Ulama yang terkenal dengan tuntutan tujuh perkara itu terhadap kerajaan., Tuntuntannya itu masih relevan hingga hari ini. Tidak seperti kebanyakan ulama lain, beliau boleh dianggap tokoh pembaharuan dalam masyarakat Patani terutama pendidkan. Beliau telah menubuh madrasah yang lebih bersistem seperti sekolah moden termasuk adanya aktiviti kawad atau perbarisan. Ia sesuatu yang asing kepada masyarakat masa itu yang begitu menebal dengan tradisi pondok., Walau bagaimanapun, sekolah tersebut terpaksa "katup" atas arahan kerajaan Thai kerana prejudis niat Haji Sulong.
Kehilangan secara misteri selepas bertemu dengan pegawai polis di Songhkla menjadi titik tolak kejadian kehilangan para ulama dan pemimpin Islam hingga hari ini. Sejak itu sampai hari ini masyarakat Patani kurang percaya kepada siasatan kerajaan Thai. Terdekat seperti kehilangan peguam Muslim, Somchai Neelhaipaijit.


Selain itu buku ini juga memuat tokoh yang cukup kontroversi sehingga menimbul perpecahan dikalangan masyarakat sampai wujud dua aliran masjid di Patani. Ulama yang batang tubuhnya digelar Haji Abdullah Bendang Kebun terkenal dengan kelantangan, tegas dan berani. " Kalau ia yakin pandangannya benar, ia bersedia menghadapi lawan, walaupun sampai bertarik baju,'' tegas seorang anak muridnya.Isu ketuhanan, tentang sembelihan dan beberapa isu lagi yang dibawanya telah menimbul perdebatan hangat. Sebelum tahun 60-an boleh dikatakan ulama Patani sekata dalam banyak hal sebelum kemunculannya.Banyak pihak berpendapat ketegasannya tidak digunakan untuk membangun masayarakat Patani yang ditekan kerajaan tahun-tahun 60-an dan 70-an. Sebaliknya banyak berpolimik dalam isu khilafiyah.

     Ayah saya antara anak muridnya yang sepuluh tahun memondok di Bendang Kebun. Saya dapat rasa akan pengaruh tok gurunya dalam kehidupan seharian ayah. Ayah seorang yang tegas dan keras pandangannya. Selalu berlaku pertentangan dalam diri saya -- tentang apa yang diajar oleh ustaz di sekolah( Malaysia) -- dengan apa yang diajar oleh ayah pada sebelah malam megikut faham gurunya. Namun saya bersyukur dibesar dalam dimensi pemikiran yang berbeza-beza. Ia membuat kita lebih terbuka dan memahami.

Tidak lengkap rasanya jika tidak menyelit keberkatan tuan guru atau lebih difahami masyarakat Melayu sebagi keramat. Masyarakat sangat menghormati tok guru kerana keramatnya termasuk penjahat tempatan. Oleh itu pada zaman dahulu ulama yang menjadi tempat penduduk bergantung harap mendapat pertolongan atau perlindungan dari samseng-samseng. Terutama melindungi anak-anak gadis yang sentiasa menjadi sasaran culik pada masa itu.

Secara umumnya buku terbitan Penerbit UKM secara langsung menambah lagi koleksi bahan-bahan bertulis tentang Patani dalam dunia perbukuan moden. Lebih-lebih lagi terbitan versi jawi telah memberi ruang kepada pembaca khususnya selatan Thai. Saya masih ingat satu kuiz yang dianjur radio tempatan tentang sejarah Patani ketika tahun aman dahulu, tidak disangka ramai pemanggil berebut-rebut terutama muda-mudi untuk menjawabnya. Hadiahnya buku ini. Saya merindui masa itu.

Nota:

Ulasan buku ini adalah antara tulisan saya yang terawal diterbit di media massa, Milenia Muslim(lupa tahun bila). Entri ini pernah disiar sebelum ini.Mahu menghangatnya balik.

Tajuk: Ulama Besar Dari Patani.
Penulis: Ahmad Fathy al-Fatani.
Penerbit: Universiti Kebangsaan Malaysia.


EmoticonEmoticon